Peruntukan RM1.7 bilion perkukuh pembiayaan mikro BSN

BeritaHarian Sat, Oct 10, 2026 06:42pm - 2 days View Original


Gambar fail. BSN Cawangan Utama Selangor, Shah Alam. - NSTP / FAIZ ANUAR

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM1.7 bilion dalam Belanjawan 2027 bagi memenuhi keperluan pembiayaan pelbagai kumpulan sasar akan memperkukuh peranan Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai peneraju pembiayaan mikro negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid, berkata peruntukan itu akan memberi manfaat kepada belia, pekerja ekonomi gig, penjaja dan komuniti rentan.

"Bagi BSN, kejayaan inisiatif ini bukan sekadar diukur melalui jumlah pembiayaan yang disalurkan, tetapi sejauh mana pembiayaan tersebut mampu membantu usahawan mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan dan membina kedudukan Kewangan yang lebih kukuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyambut baik peruntukan pembiayaan RM270 juta bagi membantu pekerja gig mengembangkan perniagaan dan merealisasikan impian memiliki rumah pertama.

"Inisiatif ini membuka lebih banyak peluang kepada pekerja gig untuk meningkatkan taraf hidup dan membina masa depan kewangan yang lebih terjamin. BSN akan terus menyediakan penyelesaian kewangan yang relevan dan bersesuaian dengan keperluan mereka," katanya.

Bagi memperluas rangkuman kewangan, BSN akan terus memanfaatkan rangkaian cawangan, ejen bank dan saluran perbankan alternatif seperti Cawangan Bank Bergerak.

Usaha itu bertujuan memastikan lebih ramai rakyat menikmati perkhidmatan kewangan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurut BSN, rangkuman kewangan bukan sekadar menyediakan akses kepada perkhidmatan perbankan, tetapi memastikan akses berkenaan membawa manfaat sebenar kepada kehidupan rakyat.

Mujibburrahman berkata, kerjasama berterusan antara kerajaan dan institusi kewangan penting bagi memastikan inisiatif Belanjawan 2027 diterjemahkan kepada peluang ekonomi lebih luas, pertumbuhan perniagaan mampan dan kesejahteraan rakyat.

– BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Rasu Rasu
Like · Reply
tak kutip balik , macam 2??

Login to comment.